Top 10 Article To Read !


Mukaddimah
HAMPIR saban hari, orang ramai pasti didedahkan tentang kehilangan remaja khususnya mereka yang berusia di bawah 18 tahun mahu pun kanak-kanak di media massa.

Pelbagai faktor dikatakan menjadi punca sama ada berkaitan sindiket pemerdagangan manusia, ikut kekasih, merajuk, ingin bebas, terkongkong, tidak ingin sekolah, didera, dirogol dan tidak kurang kerana ibu atau bapa kahwin lain.
Hakikatnya, tanpa mengambil kira faktor jenayah iaitu culik, secara purata empat remaja berusia bawah 18 tahun dan kanak-kanak di negara ini hilang setiap hari, tahun lalu.
Apakah punca golongan itu hilang dan sehingga kini gagal dikesan? Di manakah mereka? Jika masih hidup, adakah masih di dalam negara?
Justeru, wartawan Sharilfuddin Saari dan Wan Noor Hayati Wan Alias mengupas perkara itu dari sudut siasatan polis, statistik, kajian akademik dan temu bual bersama golongan berkenaan.


KUALA LUMPUR 5 Feb. - Sedar atau tidak, kehilangan kanak-kanak dan remaja ketika ini adalah sesuatu perkara yang dibimbangi pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bayangkan mengikut statistik, seramai 1,383 kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah hilang dan gagal ditemui sejak dua tahun lalu.

Ini bermakna, sekiranya diambil secara purata, seramai empat kanak-kanak atau remaja akan hilang daripada jagaan keluarganya setiap hari.

Daripada jumlah itu, seramai 1,504 orang atau 85 peratus berusia 14 hingga 17 tahun diikuti 10 hingga 13 tahun (155 orang atau 12 peratus) dan sembilan tahun ke bawah (47 orang atau 2.7 peratus).

Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman mendedahkan ada beberapa faktor mendorong kehilangan golongan itu.

Paling tinggi disebabkan dipengaruhi rakan iaitu 621 orang diikuti mengikut kekasih (597 orang) dan cari kebebasan di luar rumah (474 orang).

Selain itu, punca perselisihan faham dengan keluarga (260 orang), tidak minat belajar (92 orang), dilarikan ibu bapa sendiri (53 orang) dan kurang perhatian keluarga (33 orang).

Bimbang dengan trend tersebut, kerajaan meluluskan Pelan Tindakan Perlindungan Negara memastikan golongan itu mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi pada 29 Julai 2009.

Pasukan petugas khas turut diwujudkan dengan penglibatan 11 agensi termasuk kerajaan, persatuan hotel, bank-bank, PDRM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Penerangan, Kesenian dan Kebudayaan dan Kementerian Dalam Negeri.

IKLAN