Top 10 Article To Read !

Kualiti-Kualiti & Jati Diri Pekerja Cemerlang (A. B. C. D. E. F. G. H. I.)

Pengenalan
Artikel ini memaparkan 9 sifat, ciri-ciri serta jati diri (keperibadian atau identiti diri) pekerja cemerlang yang diadun berdasarkan Abjad ABCDEFGHI.

Pekerja Cemerlang
Pekerja yang cemerlang bukan sahaja mahir dan pakar dalam pekerjaannya tetapi juga memiliki akhlak serta kelakuan yang terpuji. Mencapai keputusan atau prestasi cemerlang dalam akademik serta pekerjaan tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk membolehkan seseorang itu dianggap sebagai cemerlang. Kedua-dua kualiti utama tersebut mesti ada pada setiap individu atau pekerja cemerlang.

Kualiti-kualiti cemerlang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Amanah
Pekerja yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia sedar bahawa segala perbuatannya adalah diperhatikan oleh Allah S.W.T..

Bijak
Pekerja yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah.

Pekerja yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah atau dapat meningkatkan lagi prestasinya dalam pekerjaan.
Cergas
Pekerja yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta melakukan latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas, aktif serta ceria dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya serta dalam melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawabnya.

Dedikasi
Pekerja yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati dan akan melakukannya sehingga selesai. Pekerja yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam apa juga perkara yang harus dilaksanakan ke arah dan untuk mencapai hasil seperti yang diharapkan oleh majikan / organisasi.

Elok
Pekerja yang cemerlang sangat elok dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan atau tindakan-tindakannya. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin serta senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan-perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan.

Pekerja yang cemerlang menjadi contoh kepada pekerja yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk majikan, rakan-rakan sekerja, keluarga serta masyarakat sekeliling.

Faham
Pekerja yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.

Gigih
Pekerja yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Ia seronok melakukan setiap kerja atau tugasannya. Walau betapa sukar pun tugasan yang diberikan kepadanya, ia tetap akan gigih dan tekun melaksanakan atau menyiapkannya. Ianya juga bijak dan mudah berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan setiap orang yang ditemui atau bekerja dengannya.

Hasrat
Pekerja yang cemerlang sentiasa mempunyai hasrat pada hati kecilnya untuk menjadi pekerja yang sangat berguna, produktif dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya itulah yang sentiasa memberikan kepadanya suntikan motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam kehidupannya.
Iman
Pekerja yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Allah S.W.T. dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati majikan, undang-undang negara serta organisasi serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.

Sekianlah. Semoga kita semua sentiasa mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Insya-Allah.
(Hakcipta Terpelihara) 2010, Taidin Suhaimin

IKLAN